Saturday, August 15, 2015

BAGILAH BUKTI DULU

assalamu'alaikum


belakangan ini, para pelajar yang bakal menyambung pengajian peringkat ijazah riuh dengan pengumuman keputusan UPU masing-masing. mereka juga sibuk mencari biasiswa untuk menampung pengajian di IPT nanti. memanglah kan, yuran pengajian bukannya berjumlah seratus dua, sebaliknya mencecah beribu ringgit. tak semua orang dilimpahkan dengan kemewahan. tak semua orang hidup senang.


baiklah. alkisah, di sebuah kampung, ada seorang gadis yang bernama Leha. Leha telah mendapat tawaran untuk menyampung pelajarannya di U** pada bulan September yang bakal menyusul tiba tak lama lagi. dia mempunyai seorang bapa saudara yang bernama Seman (Pak Cik Seman). Pak Cik Seman merupakan seorang yang aktif menceburkan diri dalam persatuan yang sangat banyak (berjasa besar ni). pada satu hari, Leha diajak oleh Pak Cik Seman untuk turut sama dalam sebuah program khidmat masyarakat, iaitu untuk mengajar kanak-kanak di kampung tempat dia tinggal. menyedari tarikh program itu sangat hampir dengan tarikh dia perlu mendaftarkan diri di U**, Leha memberitahu Pak Cik Seman sesuatu untuk tidak menghampakan bapa saudaranya itu. kata Leha,


"Pak cik, (tarikh sekian2) Leha dah kena lapor diri di U**. kalau semua urusan Leha sempat selesai sebelum tarikh program tu, in shaa Allah Leha boleh join. tapi Leha tak berani nak janji."


Pak Cik Seman mengangguk perlahan sebelum mendongak kembali secara tiba-tiba seolah-olah tersentap lalu berkata,


"eh, takkan masuk U** kot? kawan pak cik cakap dekat U**, semua kursus tak diiktiraf (bla bla bla) level tak setaraf dengan U (bla bla bla) kena ambil Master baru boleh dapat kerja. ramai kawan pak cik belajar di U** yang sama nasib (bla bla bla) bukan tipu, betul ni (bla bla bla) ya, pak cik tahu pak cik belajar tak tinggi pun (bla bla bla)."


mendengar kata-kata Pak Cik Seman itu, Leha mengeluh kecil. dia tahu U** bukanlah universiti yang 'selekeh'. mana mungkin kursusnya tak diiktiraf dan tak layak untuk mendapat biasiswa. Leha sedar, dia tidak boleh berdiam diri kerana jika dia bertindak begitu, makin bertambah berita palsu lagi karut yang akan disembur oleh Pak Cik Seman. tanpa berlengah, Leha terus memanfaatkan teknologi zaman moden ini lantas mengakses Sistem Semakan Pengiktirafan Kelayakan JPA. Leha terus mengisi butiran yang diperlukan. nah! ternyata tuduhan melulu bapa saudaranya itu auta belaka. segera ditunjukkan kepada Pak Cik Seman. tertunduk lemah dan malu Pak Cik Seman kerana tewas dengan tuduhan sendiri. 


----------------------------- 


ya, itulah sikap segelintir daripada kita yang suka mendengar sesuatu berita daripada mulut orang lain dan terus percaya bulat-bulat tanpa ada sikitpun inisiatif untuk semak kesahihan berita tu. pernah sedar tak, perkara seperti inilah yang akan menyusahkan orang lain. bila kita dengar berita daripada orang lain, kita fikir kita hebat kerana kita tahu sesuatu yang orang lain tak tahu. lepas tu kita terus nak sebarkan kepada orang lain. untuk 'tegaskan' berita tu, kita kata pada yang mendengar tu, 


"aku tahu aku ni taklah pandai macam kau, tapi benda ni aku tak tipu......................"


dengan harapan supaya mereka percaya. sepatutnya, bila kita dengar sesuatu berita daripada orang lain, perkara pertama yang kita perlu buat ialah, selidik dahulu daripada sumber-sumber yang betul-betul dipercayai. benda ni Allah S.W.T dah ajar kita awal-awal di dalam al-Qur'an. 




Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. 



janganlah disebabkan kesilapan kita yang menyebarkan berita tanpa mengenalpasti kebenarannya terlebih dahulu, orang lain yang menderita. jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. jadilah orang yang bijak. gunakan akal kurniaan Allah dengan sebaiknya.


mohon maaf sekiranya saya terkasar bahasa. ambillah isi yang baik-baik saja. oh ya, sila klik pada  Sistem Semakan Pengiktirafan Kelayakan JPA. semoga bermanfaat. 


terima kasih kerana membaca. sekian, wassalam.


~ JUST WRITING ~

Thursday, July 02, 2015

JANGANLAH SOMBONG

Assalamu'alaikum.


Terkadang kita rasa gembira apabila berada di atas. Dapat keluarga yang penyayang. Dapat ramai kawan. Dapat keputusan peperiksaan yang gempak. Tak hidup merempat. Apa yang diidamkan, semuanya dapat. Hinggakan ke satu tahap, semua nikmat yang kita dapat ini membuatkan kita berasa sombong. 

Tiba satu masa, Allah datangkan ujian buat kita. Keluarga, seorang demi seorang pergi meninggalkan kita. Kawan yang ramai itu rupanya hanya ada di saat kita senang. Keputusan peperiksaan tiba-tiba jatuh merudum akibat terlalu yakin, sampaikan lalai sewaktu belajar. Kesenangan hidup yang dimiliki hancur sekelip mata. Apa yang dihajatkan seakan-akan menjauh daripada kehidupan kita. 

Ingatlah, kehidupan kita ini umpama satu roda. Takkan selamanya kita berada di bawah sahaja. Tak usah sombong mendabik dada. Semua yang kita ada itu Allah punya. Kita ini hanya hamba. Kelak akan binasa jua.

Lupakah kita pada sejarah kewujudan Nabi Adam Alaihissalam yang diciptakan oleh Allah daripada tanah? Ingatkah lagi akan kesombongan makhluk yang bernama Iblis, yang pada mulanya merupakan makhluk yang taat akan perintah Allah, yang tinggal di dalam Syurga? Namun, akibat kesombongannya, yang mengatakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam Alaihissalam. Lalu, apabila Allah memerintahkan kepada para malaikat untuk tunduk memberi hormat kepada Nabi Adam Alaihissalam, semua malaikat patuh dan tunduk, namun tidak bagi Iblis Laknatullah. Kerana merasakan lebih hebat daripada Nabi Adam Alaihissalam kerana asal kejadiannya daripada api, maka, Syurga bukan lagi tempatnya. 


Jika ingin menjadi sombong, cubalah bernafas tanpa menggunakan oksigen yang ada di muka bumi ini. Janganlah sombong, kita bukan siapa-siapa. Kita bukan Tuhan. Tetapi, SILA SOMBONG kalau kau boleh ANGKUT JENAZAH SENDIRI MASUK KE DALAM LIANG LAHAD. 

"Jangan pernah sombong dengan apa yang kita miliki kerana ini semua hanya pinjaman untuk seketika sahaja."

"Orang yang sombong sering mendongak ke atas apabila berbicara, sedangkan dia tidak sedar bahawa yang di atas (Allah S.W.T.) tidak pernah suka akan orang yang sombong."

Bersyukurlah dengan apa sahaja yang Allah berikan kepada kita. Ucaplah "ALHAMDULILLAH".  Sesungguhnya ucapan "ALHAMDULILLAH" itu memenuhi timbangan al-Mizan di akhirat kelak.

Sombongnya kita kerana berumah besar, kelak pasti berumahkan liang lahad.

Sombongnya kita kerana memakai pakaian mahal, kelak pasti berbalut kain kafan.

Sombongnya kita kerana memakai wangian berjenama, kelak pasti berwangikan kapur barus.

Sombongnya kita kerana berkereta mewah, kelak pasti berkereta KERANDA.

 
"Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk."

Entri ini hanyalah sekadar renungan untuk diri sendiri dan juga sesiapa yang membaca. Semoga Allah merahmati diriku dan juga kalian.

Maaf andai terkasar bahasa, terlanjur kata juga buruk bicara. Sekadar berkongsi rasa.

 "Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?"

Sekian, assalamu'alaikum.

~ JUST WRITING ~


Friday, June 26, 2015

#Ramadhan, #Masjid, #Perempuan

assalamu'alaikum.

alangkah indahnya dapat menunaikan solat sunat tarawih berjemaah di masjid sepanjang bulan Ramadhan. sukar untuk dicapai khususnya bagi kebanyakan kaum perempuan. sekiranya boleh, usahakanlah. sementara kudrat masih ada, gagahkanlah.

tetapi

jagalah adab. jagalah tertib. hadirmu ke rumah Allah, untuk menghadap Allah. sedih melihat sebenarnya. ada yang datang ke masjid siap bertelekung, tinggal kainnya saja dipakai di dalam masjid. ada yang datang ke masjid tanpa memakai telekung lagi. yang pakai telekung separuh, dengan selipar jepunnya. terlihat oleh kaum lelaki akan kakinya itu. ada yang menyelak telekungnya supaya tidak menggerbang, sehingga ternampak baju lengan pendek. yang memakai telekung dengan kainnya, dengan penuh gaya, menyelak kainnya hingga terserlah akan betisnya. itu auratmu. untuk ditutup, bukan untuk ditunjuk-tunjuk.

di manakah rasa malu itu? malulah, kita di rumah Allah! janganlah cemarkan kesucian tempat ini!

melangkah masuk ke ruang solat, terdengar pula suara kaum perempuan, sakan berceloteh itu ini, seolah-olah terlupa bahawa ini ialah rumah Allah, sedangkan di hujung sana ada hamba Allah sedang menunaikan solat sunat, di depan itu ada hamba Allah yang sedang berzikir. jagalah adab kalian. jangan sombong dengan Tuhan.

sedang semua tenang di dalam solat, kedengaran pula bunyi sendawa beserta bau. rasa-rasanya boleh diteka apa menu berbuka puasanya. tolonglah prihatin. sekiranya tidak mahu memberus gigi sebelum datang ke masjid, silalah tutup mulut jika hendak sendawa. memang tiada siapa boleh halang, lumrah orang puasa. terkadang angin dalam badan tiba-tiba mengganas, mahu ditahan dari dibuang, takut melarat. kawal sehabis mungkin. jangan kerana kita, orang lain terganggu.

penuhkan saf di hadapan. kenapa mahu malu untuk berada di saf hadapan? kenapa seronok berada di saf belakang? rebutlah peluang. sekiranya berkesempatan berada di saf hadapan, masuklah. jangan pula saf yang tengah beriya-iya mengajak saf yang belakang mara ke depan sedangkan yang mengajak itu tidak berganjak.

datanglah ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih berjemaah dengan sebaiknya. rebutlah pahala, setahun hanya sekali. belum pasti Ramadhan akan datang ada untuk kita.

teguran ini bukanlah untuk menghina, bukan juga untuk mengatakan bahawa aku manusia sempurna. jauh sekali. maafkan aku andai teguran ini telah mengguris sanubari kalian. jujur, aku tidak tahu bagaimana dapat aku luahkan dengan penuh kelembutan, hingga semua yang membaca dapat menerima dengan hati yang terbuka.

pesanku, apa yang baik, ambillah sebagai pedoman dan teladan. apa yang buruk, tinggalkanlah dan jadikan ia sebagai sempadan.

sekian, terima kasih.

"Ramadhan Kareem!"

~ JUST WRITING ~

Saturday, January 03, 2015

I MISS THEM

Assalamu'alaikum.

Kepada teman-teman seperjuanganku sekalian, terima kasih kerana sudi bersama-sama denganku semasa kita bersekolah dulu. Walaupun aku garang, kedekut, 'kejam', dan sebagainya, tapi aku sayang kalian! 

Awfa, nuna, timah, nad dll.. 
Selamat berjuang di tempat baru kalian. Aku tahu kalian adalah yang terbaik. Tunjukkan kepada semua, jangan pandang kami sebelah mata. Kami juga bisa. 
Maafkan aku andai sepanjang persahabatan kita, aku banyak melukakan hati-hati kalian. Aku banyak kelemahan. 

Semoga Allah merahmati kalian, juga diriku. Rindu kalian. Uhibbukunna fillah. 


Jom baca sama-sama :

"Ya Allah, engkau mengetahui hati-hati ini telah berkumpul kerana kasihkanMu. Bertemu dan patuh padaMu. Bersatu memikul dakwahMu. Hati-hati ini telah berjanji setia mendaulat dan menyokong Syari'atMu. Maka eratkanlah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan hati ini. Tunjukkan ia jalan yang sebenar. Limpahkan dengan cahaya RabbaniMu yang tak pernah padam dan lapangkan dengan Iman."

Ameen ya Rabb.


Wassalam.

~ JUST WRITING ~ 

Friday, May 30, 2014

ALAM BARU (T_T)

Assalamu'alaikum.

Bulan 12/2013 dah selesai SPM. Bulan 3/2014 dah pun selesai dapat result. Bulan 4/2014 selesai isi borang UPU and whatsoever. Bulan 5/2014 keputusan UPU dan scholarship semua dah keluar. Bulan 6/2014 yang bakal menjelma ni pulak, kebanyakan pelajar asasi pakat nak mendaftar di IPT masing-masing.

Hampir setengah tahun jugakla menganggur sejak habis SPM. Plan macam-macam nak buat sepanjang cuti ni. Tapi rasa macam tak jadi banyak la jugak. Sebab apa? Haha. Sebenarnya, bukanlah busy pun. Tak kena kerja pun macam kawan yang lain. Cuma malas saja.

Dulu bukan main lagi plan. Lepas SPM nak belajar memandu. Lepas dapat lesen kononnya boleh la nak jadi drebar nak hantar mama pergi sekolah. Tup tup lepas dah ada lesen, tak guna pun. Mama dengan baba tak bagi drive selagi PDL tu tak bertukar menjadi CDL. Haha. Depa kata masa tu saya dah matang sikit. Depa takut PDL saya kena gantung. Yeah. For them, preventation is better than cure. Of course la kan. Tak mahu la sudah terhantuk baru nak terngadah. So takpalah. Biarkan saja kisah lesen dan memandu kereta tu ~_~

Besides, saya ada jugak plan nak belajar memasak dengan mak long saya. Rumah pun bukannya jauh sangat. Beriya-iya mak long suruh belajar dengan beliau tapi disebabkan kemalasan saya nak berjalan kaki ke sana maka secara automatik, plan tu memang hancuss la kan. Haha. Kesian saya. ( Eh -_-' ) Betul la. Kalau saya rajin mesti saya boleh buka restoran sendiri. Boleh masak masakan kampung. Boleh dapat duit banyak. Boleh beli macam-macam. Haha. Poor Izzah :P ( Tak salahkan berangan tinggi-tinggi :3 )

Ada lagi plan yang lain. Banyak sangat. Saya pun dah tak ingat apa plan tu. Haha. Tapi rasanya memang dah tak sempat la nak laksanakan pun. Sebab lagi 3 @ 4 hari lagi nak daftar asasi. Goodbye lah ye plan yang saya kasihi sekalian. Maaflah sebab Izzah ni malas sangat -,- Katanya, “kalaulah ada sumur di ladang, bolehlah saya menumpang mandi, kalaulah ada umur yang panjang, in shaa Allah berjumpa lagi."

************

##### Entah apa kaitan tajuk entri ni dengan semua isi entri. Ada sesiapa yang boleh bagi cadangan tajuk apa yang sesuai? Please help me >_< #####

P/S 1 : Esok majlis akad nikah ibu saudara saya. Lepas lebih kurang seminggu pulak baru kenduri. Sempat event untuk esok saja. Huhu. Sedih :'( Btw, doakan semoga jodoh mereka kekal bukan hingga ke anak cucu saja. Biar kekal hingga ke syurga. Ameen.

P/S 2 : Awat rasa macam 3/4 daripada entri ni macam baku sangat. Haha. Biarkan saja.

P/S 3 : Nantikan IPT mana saya belajar. Haha. In shaa Allah nanti saya cerita sikit.

Thanks for reading!

Sekian, wassalam.

~ JUST WRITING ~