Saturday, August 15, 2015

BAGILAH BUKTI DULU

assalamu'alaikum


belakangan ini, para pelajar yang bakal menyambung pengajian peringkat ijazah riuh dengan pengumuman keputusan UPU masing-masing. mereka juga sibuk mencari biasiswa untuk menampung pengajian di IPT nanti. memanglah kan, yuran pengajian bukannya berjumlah seratus dua, sebaliknya mencecah beribu ringgit. tak semua orang dilimpahkan dengan kemewahan. tak semua orang hidup senang.


baiklah. alkisah, di sebuah kampung, ada seorang gadis yang bernama Leha. Leha telah mendapat tawaran untuk menyampung pelajarannya di U** pada bulan September yang bakal menyusul tiba tak lama lagi. dia mempunyai seorang bapa saudara yang bernama Seman (Pak Cik Seman). Pak Cik Seman merupakan seorang yang aktif menceburkan diri dalam persatuan yang sangat banyak (berjasa besar ni). pada satu hari, Leha diajak oleh Pak Cik Seman untuk turut sama dalam sebuah program khidmat masyarakat, iaitu untuk mengajar kanak-kanak di kampung tempat dia tinggal. menyedari tarikh program itu sangat hampir dengan tarikh dia perlu mendaftarkan diri di U**, Leha memberitahu Pak Cik Seman sesuatu untuk tidak menghampakan bapa saudaranya itu. kata Leha,


"Pak cik, (tarikh sekian2) Leha dah kena lapor diri di U**. kalau semua urusan Leha sempat selesai sebelum tarikh program tu, in shaa Allah Leha boleh join. tapi Leha tak berani nak janji."


Pak Cik Seman mengangguk perlahan sebelum mendongak kembali secara tiba-tiba seolah-olah tersentap lalu berkata,


"eh, takkan masuk U** kot? kawan pak cik cakap dekat U**, semua kursus tak diiktiraf (bla bla bla) level tak setaraf dengan U (bla bla bla) kena ambil Master baru boleh dapat kerja. ramai kawan pak cik belajar di U** yang sama nasib (bla bla bla) bukan tipu, betul ni (bla bla bla) ya, pak cik tahu pak cik belajar tak tinggi pun (bla bla bla)."


mendengar kata-kata Pak Cik Seman itu, Leha mengeluh kecil. dia tahu U** bukanlah universiti yang 'selekeh'. mana mungkin kursusnya tak diiktiraf dan tak layak untuk mendapat biasiswa. Leha sedar, dia tidak boleh berdiam diri kerana jika dia bertindak begitu, makin bertambah berita palsu lagi karut yang akan disembur oleh Pak Cik Seman. tanpa berlengah, Leha terus memanfaatkan teknologi zaman moden ini lantas mengakses Sistem Semakan Pengiktirafan Kelayakan JPA. Leha terus mengisi butiran yang diperlukan. nah! ternyata tuduhan melulu bapa saudaranya itu auta belaka. segera ditunjukkan kepada Pak Cik Seman. tertunduk lemah dan malu Pak Cik Seman kerana tewas dengan tuduhan sendiri. 


----------------------------- 


ya, itulah sikap segelintir daripada kita yang suka mendengar sesuatu berita daripada mulut orang lain dan terus percaya bulat-bulat tanpa ada sikitpun inisiatif untuk semak kesahihan berita tu. pernah sedar tak, perkara seperti inilah yang akan menyusahkan orang lain. bila kita dengar berita daripada orang lain, kita fikir kita hebat kerana kita tahu sesuatu yang orang lain tak tahu. lepas tu kita terus nak sebarkan kepada orang lain. untuk 'tegaskan' berita tu, kita kata pada yang mendengar tu, 


"aku tahu aku ni taklah pandai macam kau, tapi benda ni aku tak tipu......................"


dengan harapan supaya mereka percaya. sepatutnya, bila kita dengar sesuatu berita daripada orang lain, perkara pertama yang kita perlu buat ialah, selidik dahulu daripada sumber-sumber yang betul-betul dipercayai. benda ni Allah S.W.T dah ajar kita awal-awal di dalam al-Qur'an. 




Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. 



janganlah disebabkan kesilapan kita yang menyebarkan berita tanpa mengenalpasti kebenarannya terlebih dahulu, orang lain yang menderita. jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. jadilah orang yang bijak. gunakan akal kurniaan Allah dengan sebaiknya.


mohon maaf sekiranya saya terkasar bahasa. ambillah isi yang baik-baik saja. oh ya, sila klik pada  Sistem Semakan Pengiktirafan Kelayakan JPA. semoga bermanfaat. 


terima kasih kerana membaca. sekian, wassalam.


~ JUST WRITING ~

No comments: